Thursday, December 16, 2010

‘Pulut Binasa, Mulut Merana’

‘Pulut Binasa, Mulut Merana’
Oleh NORHURIYATINA SALLEH

Kata pepatah Melayu, ´kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana (binasa)´. Ia merupakan peringatan bahawa mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri mahupun terhadap orang lain. Lidah adalah anugerah Allah kepada manusia untuk berkomunikasi tetapi ia sering disalahgunakan untuk mengeluarkan perkataan yang mendatangkan keburukan seperti menyebar fitnah, dusta dan bermaksud buruk yang membawa niat menjatuhkan maruah orang lain.

Allah berfirman yang bermaksud: “Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata, lidah dan dua bibir. Dan Kami menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebajikan dan jalan kejahatan).” - Surah al-Balad: 8-10

Justeru, kita mestilah berhati-hati dalam percakapan sehari-harian. Jika dikhuatiri mengeluarkan perkataan tidak baik, lebih baik kita berdiam diri. Ini bagi mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati. Jika kita sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi orang lain, tentu sukar untuk kita menariknya balik. Lebih buruk lagi jika orang lain silap mendengarnya. Ini berkait rapat dengan kata-kata ´terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya´.

Satu kesalahan yang paling rapat dengan lidah ialah penyebaran fitnah dan mengadu domba. Fitnah mendatangkan kesan bahaya dalam masyarakat kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara. Allah mengingatkan manusia mengenai buruknya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”

Banyak orang tidak sedar mereka melakukan fitnah kerana amalan itu sudah sebati dalam masyarakat. Ada yang menganggap melalui fitnah barulah mereka boleh berjaya dalam kehidupan di dunia sedangkan di akhirat akan berlaku sebaliknya. Fitnah boleh berlaku disebabkan pertandingan mendapatkan kuasa, pangkat, menjatuhkan orang lain dan kekayaan. Apa yang disebarkan untuk memburuk-burukkan individu atau kumpulan kerana perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan layak dibandingkan dengan orang lain. Ia juga menyebabkan nilai agama musnah daripada menjadi pegangan hidup dalam masyarakat. Apabila nilai agama yang menjadi tunjang kesempurnaan hidup hilang, maka banyak dosa dilakukan.

Akta Fitnah 1957 yang menguruskan libel (fitnah bertulis yang disebarkan secara bertulis dan ada sesetengahnya diterbitkan tidak kira dalam bentuk artikal mahupun bentuk gambar) dan pencercaan atau ´slander´ (fitnah percakapan malahan gaya lenggok badan juga terlibat) melindungi hak individu dari tuduhan-tuduhan tidak berasas yang boleh merosakkan reputasi mereka. Ini merupakan cebis perundangan yang diperlukan. Di bawah undang-undang ini, sekiranya anda menerbitkan atau mengulangi kenyataan memfitnah, ungkapan-ungkapan mencela yang salah atau yang anda tidak boleh buktikan anda boleh disaman kerana memfitnah, dan di dalam beberapa kes, mendedahkan diri anda sendiri kepada pendakwaan di bawah jenayah memfitnah.

Fitnah adalah sebahagian daripada perbuatan mengadu-domba. Apabila disebarkan, ia mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Permusuhan menjadi semakin tegang dan tidak terkawal apabila banyak fitnah ditabur. Apatah lagi jika ia tidak mempunyai asas kebenaran. Islam mengarahkan manusia supaya memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dalam berita berunsur fitnah. Justeru, wajib bagi orang Muslim menghalusi setiap berita yang diterima sebelum mempercayainya. Kesahihan berita dapat dilakukan dengan melihat kepada fakta dan sumber berita itu.

Jika perlu, gunakan masa lebih lama sebelum membuat keputusan. Lebih lama berfikir adalah lebih baik supaya tidak menanggung kesan buruk. Fikirlah segala kebaikan dan keburukan dalam membuat keputusan. Allah memberi hidayah kepada manusia untuk berfikir dengan hati terbuka dan mengharapkan petunjuk-Nya. Sekiranya berita yang diterima belum diketahui kebenarannya, jangan kita berbicara atau menyebarkannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penting bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita palsu berunsur fitnah. Dalam era teknologi maklumat, penyebaran fitnah mudah dilakukan melalui alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang lain, malah identiti penyebar juga dirahsiakan.

Dosa fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, ia tidak diampunkan Allah melainkan orang yang difitnah memberi keampunan. Tentu sukar untuk mengakui kesalahan sendiri dan memohon keampunan daripada orang lain. Dosa fitnah juga menghalang seseorang itu untuk masuk ke dalam syurga. Rasulullah bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah”, hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Iman Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsia yang tidak mahu diketahui orang lain adalah perbuatan adu-domba dan fitnah. Mencari dan membocorkan rahsia orang dilarang Allah seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain”. Surah al-Hujuraat, ayat 12.

Sesiapa yang menyebarkan berita berbentuk cacian dan kejian, kecelakaan besar bakal diterima sebagai balasan. Allah berfirman: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela.” (Surah al-Humazah: 1)

Hanya orang yang berpekerti buruk melahirkan perkataan buruk. Orang cerdik tidak sekali-kali mengeluarkan perkataan buruk yang secara langsung melambangkan keburukan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Meh Nyampok sama